Powered By Blogger

Friday, May 6, 2011

KELAB SEPEDA KLASIK KOTA TINGGI



Aktiviti berbasikal secara berkumpulan semakin digemari masyarakat kita hari ini, malah tidak kurang juga yang menjadikan usaha mengumpul basikal klasik sebagai hobi. 


Bagi ahli Kelab Sepeda Klasik Kota Tinggi (KSKKT), mereka bukan sahaja mengumpul pelbagai koleksi dan berkongsi minat mengenainya, malah aktif menjalankan aktiviti berbasikal setiap hujung minggu.

Mereka sering mengayuh basikal klasik jenama popular dari tahun 1950-an hingga 1970-an seperti Raleigh, The Sulthan, New Hudson, British Soldier, Hercules, Robinhood, Robinson, Bulldog, Roaster, Sun Beam, Foot England, BSA, Triumph dan Griffin.

Hobi mengumpul dan mengayuh basikal klasik ini juga kian diminati dan popular termasuk disertai golongan muda. 


Kehadiran generasi muda yang tampil dengan idea kreatif dan segar telah menyuntik dan membakar semangat para pencinta basikal klasik di sini.


Setiap hujung minggu sama ada Sabtu atau Ahad serta cuti am, ahli kelab ini sering berbasikal sejauh 3 hingga 5 kilometer mengelilingi sekitar bandar Kota Tinggi dan juga kampung-kampung berdekatan. 


Kebiasaannya mereka akan berkumpul di bandar Kota Tinggi pada waktu pagi untuk bertemu sesama ahli selain berbincang tentang aktiviti yang bakal dijalankan. 

Dan pastinya, kehadiran Kelab Sepeda Klasik ini akan memeriahkan lagi suasana daerah Kota Tinggi yang kaya dengan kisah-kisah sejarahnya. 

Berkumpul di Dataran Kota Tinggi
Beramai-ramai mengelilingi bandar Kota Tinggi


Golongan remaja memeriahkan lagi kelab ini









Monday, March 7, 2011

Johor Lama

Sejarah Kota Johor Lama bermula pada tahun 1540 apabila Sultan Alaudin Riayat Shah II berpindah ke Tanjung Batu yang terletak di tepi Sungai Johor . Baginda mendirikan sebuah kota daripada susunan batu dan kemudian ditambak. Dengan terbinanya kota ini, Kerajaan Johor menjadi salah sebuah kerajaan yang kuat di Rantau Asia ketika itu. 

Kota Johor Lama terletak di tebing kiri Sungai Johor kira-kira 27 km dari Bandar Kota Tinggi atau kira-kira 30 km dengan jalan darat melalui Jalan Desaru ke Telok Sengat. Kota ini terletak di kawasan ladang getah atas tebing muara Sungai Johor. 

Hari ini, terdapat  beberapa buah perkampungan Melayu seperti Kampung Telok Sengat dan Kampung Johor Lama.


 Jeti Kg Johor Lama

 Menuju ke Pulau Layang








Friday, January 14, 2011

Anggur @ Sendayan Valley

Setelah dua tahun melalui proses penyesuaian di satu kawasan tanah berbukit di Sendayan, anggur keluaran ladang Sendayan Valley akhirnya dapat dinikmati oleh penggemarnya. 

Terletak 6km dari Jalan Seremban-Port Dickson, ladang yang berkonsepkan agro pelancongan ini telahpun dibuka kepada orang ramai untuk dilawati, dan tarikan utamanya ialah anggur Sendayan. 

Orang ramai bukan sahaja boleh membeli buah-buahan segar itu di ladang berkenaan, malah mereka juga akan diberi peluang merasai pengalaman memetik sendiri anggur terus dari pokok. 

Peminat anggur juga boleh membeli biji benih anggur yang bermutu, baja, racun serangga dan buku panduan kecil mengenai cara menanam dan menjaga anggur untuk ditanam di taman atau dalam pasu.

Jadi.... jika berkesempatan, cubalah singgah di Sendayan Valley ini.